h1

PENULISAN BUKU DAN ARTIKEL

PUNCAK JAYA : MALAYSIA KAMPUNGKU, DUNIA NEGARAKU
ZUBLI ZAINORDIN

dipetik dari
http://kakibuku.blogdrive.com/archive/cm-3_cy-2006_m-10_d-27_y-2006_o-0o.html

Friday, October 27, 2006
Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku

KEMAJUAN pendidikan banyak berpusat di Universiti. Di sanalah segala kebijakan ditemui. Sejak dahulu kala, sehingga kini dan selamanya Universiti merupakan destinasi utama untuk dituju.

Buku Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku karya Zubli Zainordin bukan sekadar catatan biasa tetapi menghimpun satu pengalaman menarik untuk sama-sama dikecapi oleh para pembaca khususnya di kalangan anak-anak muda Malaysia. Kepada yang belum berkesempatan melanjutkan pengajian serta merasai kehidupan di Universiti sebagai siswa-siswi, maka buku ini dapat memberi motivasi yang sangat diperlukan.

Terdapat 13 bab yang menyentuh betapa Universiti amat penting untuk disinggahi sepanjang kehidupan seseorang. Sekiranya anda dapat melanjutkan pengajian di Universiti sama ada lokal atau antarabangsa, maka ini sudah dikira sangat bermakna kepada diri anda. Sekiranya belum, maka berusahalah untuk memasukinya, biarpun sebagai seorang pelawat dan rasailah kenikmatannya.

Buku ini ingin mengajak anak-anak muda serta para graduan berkelana di persada global di mana Malaysia hanyalah merupakan sebuah perkampungan dan diharapkan mereka nanti keluar menakluki pentas global seolah-olah dunia sudah pula menjadi negara mereka. Berkemampuankah mereka mencapai misi ini? Mungkin dengan membaca buku Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku anda berpeluang mendapatkan jawapannya.

Dapatkan buku Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku di kedai-kedai buku berhampiran anda, sekiranya belum kedapatan sila sms 019-367 8067 atau 013-223 2559 untuk penghantaran segera.

Info buku:

Tajuk: Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku
Pengkarya: Zubli Zainordin
Penerbit: Smart Genei Corporation Sdn. Bhd.
ISBN No: 983-2275-53-9
Tahun Terbitan: 2006

JADILAH USAHAWAN BERETIKA

DR. AHMAD ZAKI ISMAIL

Prakata :

Menjadi usahawan adalah satu cita-cita murni kerana sebagai usahawan kita bukan sahaja menjadi boss kepada diri sendiri tetapi turut membuka peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan kepada individu-individu lain.

Pelbagai jenis usaha boleh dibuat untuk menjadi usahawan baik dari berniaga secara kecil-kecilan, menjual barangan, mengeluarkan produk ataupun menawarkan perkhidmatan. Bagaimanapun, kesemua ikhtiar berkenaan perlu dimulakan dengan langkah-langkah yang tepat dan persediaan yang mencukupi supaya tidak terhalang di separuh jalan.

Perkara utama yang dititikberatkan di dalam buku ini adalah proses asas dalam memulakan usaha-usaha berkenaan supaya ikhtiar yang dibuat telah mengambilkira kesemua aspek-aspek penting bagi mengelakkan risiko negatif akibat kekurangan maklumat. Ianya dibuat semudah mungkin tanpa menggunakan istilah-istilah yang terlalu ilmiah supaya mudah difahami dan dihayati bersama.

Saya cuba sebaik mungkin menggunakan pendekatan yang ringan, ringkas tetapi padat dalam memberikan penerangan di setiap bab buku ini. Ia berdasarkan pengalaman diri yang meskipun telah terdedah lebih daripada 15 tahun dalam bidang perniagaan masih menghadapi kesukaran-kesukaran tertentu bagi mengatasinya.

Malahan bekalan pengalaman sebagai tenaga akademik dan pegawai institusi kewangan sendiripun bukanlah menjadi jaminan kepada diri saya tidak akan menghadapi sebarang kesulitan dalam menjalankan usahaniaga seharian.

Menyedari kesulitan yang bakal dihadapi di luar sana oleh bakal-bakal dan para usahawan serta para peniaga maka saya mengambil kesempatan untuk menyajikan buku ini sebagai sumbangsih dan buahtangan peribadi untuk dijadikan panduan serta senjata dalam mengharungi cabaran dunia perniagaan.

Walaupun menyedari ia bukanlah telah sempurna tetapi saya tetap bersyukur kerana akhirnya berjaya juga menyumbang sekelumit bakti bagi memenuhi fitrah manusia yang dilantik ke muka bumi ini sebagai Khalifah Allah yang perlu menyumbang ilmu hatta sekecil zarah sekalipun.

Dengan rendah hati saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada isteri saya Salmah binti Kasim, anak-anak Shahratul Izdihar, Muhd. Saiful Aizuddin, Muhammad Saiful Aizat dan Shahratul Aizati kerana kesabaran mereka semua menghadapi pelbagai cabaran sepanjang saya bergelar sebagai usahawan dan sumbangan mereka dalam mengongsi bersama pahit manis hidup sebagai ahli keluarga seorang usahawan.

Kepada rakan kongsi, kakitangan dan klien-klien yang telah membuka peluang dan memberikan limpah kasih mereka dalam lingkungan perniagaan yang telah saya ceburi jasa anda semua tidak pernah saya kesampingkan. Tidak lupa juga kepada Jabatan-jabatan, Kementerian dan Agensi Kerajaan yang telah secara langsung dan tidak langsung memberi bantuan dalam bentuk nasihat, projek, usaha-sama dan pembiayaan.

Saudara Zubli Zainordin yang saban waktu mendorong, menghangatkan suasana dan meminjamkan kepakaran di bidang penulisan yang tanpa jemu meminta, menggertak, mentertawa dan mengapi-apikan tanpa jemu agar buku ini segera disiapkan. Walaupun kadangkala perjalanan menyiapkan buku ini lebih lambat dari pergerakan kura-kura ketika memasuki pertandingan lumba lari dengan sang arnab.

Sahabat saya Saudara Abu Samah Shahbudin Pengarah KPDN-HEP negeri Pahang, terima kasih di atas bantuan beliau membuka pelbagai misteri dalam bidang perniagaan dan peruncitan di negara ini. Meskipun hubungan bermula sebagai rakan sekelas di Universiti Malaya tetapi ia masih berterusan sehingga kini. Saudaralah sahabat sejati kerana masih bersama ketika senang dan susah.

Bekas rakan kongsi Saudara Azman Omar walaupun kita tidak lagi bersama kenangan bersama saudara serta jasa saudara sentiasa saya hargai. Mungkin kita tidak ditakdirkan untuk meneroka pelbagai bidang bersama tetapi kerjasama dan usaha-usaha saudara telah turut membantu mencernakan masa hadapan syarikat kita lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Ingin juga saya menjunjung kasih di atas bantuan sahabat dan saudara saya Dato’ Dr. Maamor dan Dato’ Nadzim @ Nadim Johan dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang memberikan peluang kepada saya untuk menyumbang bakti selaku penasihat PPIM. Malahan dengan bantuan merekalah buku ini akhirnya berjaya diterbitkan sebagaimana yang anda baca.

Kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah kepimpinan Yang Berbahagia Dato’ Seri Talaat bin Haji Husain yang sudi menaja kos percetakan buku ini diucapkan syabas kerana usaha pro-aktif pihak Kementerian ini wajar dicontohi oleh lain-lain pihak dalam membantu melicin, memudah dan melancarkan usaha-usaha komuniti usahawan mencapai cita-cita dan halatuju mereka.

Kepada anda semua, saya ingin menyeru supaya ayuhlah kita sama-sama memeriahkan arena keusahawanan bukan sahaja di peringkat lokal sahaja tetapi kita teruskan hingga ke peringkat global.

Buku ini menekankan perkataan ETIKA dengan harapan dunia keusahawan akan melahirkan lebih ramai usahawan yang beretika dan tidak hanya mementingkan keuntungan duniawi semata-mata sehingga melupakan batas-batas agama yang perlu dipatuhi.

Saudara Abu, Rizal (Bob), Khairul Fikri, Julia (Thilagavathy), Agusalim (Salim), Rohimi dan ramai lagi rakan, handai dan taulan yang secara langsung dan tidak langsung membantu terima kasih daun keladi, jasamu semua tetap ku kenang.

DR. AHMAD ZAKI BIN ISMAIL

Wisma AZ Smart,

Bandar Country Homes

Julai, 2006

ARTIKEL

1.

Disiarkan dalam Berita Harian 4Oktober, 2004 halaman:12

LEBIH BAIK INSTITUSIKAN ALONG DARIPADA ISYTIHAR PERANG

Ceti haram, along, lintah darat atau apa sahaja gelaran kontemporari yang telah diberikan adalah merujuk kepada aktiviti pemberian pinjaman material atau kewangan tanpa lesen secara persendirian atau melalui syarikat sah daftar tetapi tidak mempunyai lesen memberikan perkhidmatan berkenaan. Gejala ini bukan sesuatu yang baru ataupun fenomena yang hanya berlaku di negara kita sahaja malahan telah wujud sekian lama walaupun dengan nama dan wajah yang pelbagai. Di zaman feudal dan pertengahan wujud sistem yang di panggil tuan tanah. Kesemuanya bermula sebelum industri kewangan dan perbankan berkembang tersusun sebagaimana wujudnya pada hari ini.

Menyalahkan hanya satu pihak semata-mata dalam kes ‘along’ ini adalah satu perbuatan yang berat sebelah. Kerana untuk membasmi sesuatu malapetaka yang melanda masyarakat, kita perlu membuat penelitian secara menyeluruh. Mengisytiharkan perang terbuka untuk membasmi kegiatan along hanyalah penyelesaian singkat dan bersifat situasi. Dikhuatiri tindakan berkenaan hanya dapat menyimpan masalah sebenar di bawah tikar, tetapi apabila sampah semakin menimbun ia akan bertebar keluar dan menjadi bencana.

Kajian menunjukkan kewujudan along adalah berkait rapat dengan permintaan besar terhadap ‘keewangan segera’. Inilah masalah utama dan pokok di dalam kesemua permasalahan yang perlu diberikan perhatian supaya dapat diwujudkan formula penyelesaiannya. Kajian perlu dilakukan dengan teliti siapakah para pelanggan kepada along berkenaan dan fakta-fakta yang menyebabkan mereka mendapatkan perkhidmatan tersebut. Selanjutnya, rumusan plan tindakan jangka pendek dan jangka panjang perlu dibuat bagi mengatasi masalah berkenaan secara sempurna.

Perbuatan memburu along dan memenjarakan mereka sahaja tidak akan menyelesaikan permasalahan secara tuntas. Kerana selagi ada permintaan selagi itulah akan wujud peluang melahirkan bibit dan benih along generasi baru yang mungkin melaksanakan modus operandi yang lebih canggih, bersistem dan semakin sukar untuk dibanteras. Kesemuanya berteraskan konsep asas pasaran iaitu permintaan dan penawaran. Sebab itulah cara yang paling efektif dan dinamik dalam mewujudkan kelahiran golongan Along.

Melalui tinjauan khalayak, didapati kebanyakkan mangsa along merupakan mereka yang tersepit dengan pelbagai kemelut kewangan. Ikhtiar memperolehi kemudahan kewangan daripada institusi kewangan selalunya terlalu banyak ‘songel’nya. Hingga bukan sahaja merimas tetapi turut mengecewakan. Tanpa menafikan institusi kewangan mempunyai prosedur dan polisi yang perlu dipatuhi, tetapi sekiranya kewujudan institusi berkenaan hanya sebagai alat mengaut untung semata-mata dan tidak turut memain peranan dalam obligasi sosial dan nasional baiklah kewujudan mereka dihadkan pada bilangan yang konservatif sahaja.

Cogankata yang pelbagai dipamerkan oleh institusi-institusi kewangan di negara ini tidak pernah menggambarkan hakikat sebenar. Cuba bertanya kepada para usahawan kecil dan sederhana di negara ini siapakah yang menghulur bantuan sekiranya bukan along-along ini sekiranya keadaan mendesak. Walhal, sekiranya Bank Negara mewajibkan kesemua institusi kewangan memaparkan kepada umum jumlah wang tidak dituntut saban tahun yang disimpan samaada kerana jumlahnya terlalu kecil atau penyimpan tidak dapat dikesan sahaja sebenarnya telah berupaya menampung keperluan golongan terdesak ini.

Adalah tidak mustahil melakukan pendekatan yang realistik dalam mengatasi gejala di atas. Ini dibuktikan semenjak lama dahulu melalui insitusi pajakan berlesen dan yang muttakhir apabila platform pajakan Islam ArRahnu diperkenalkan melalui penggembelingan usaha di antara YAPEIM dan Bank Rakyat. Ia memang langkah pro aktif yang patut diberikan pujian dan setinggi ucapan tahniah. Langkah berkenaan menjadi serampang multi fungsi di mana selain daripada menyediakan kemudahan kredit bersifat tradisional berupaya juga menyelamatkan akidah, riba dan pada masa yang sama menjadi penyelamat harta benda golongan terdesak terutamanya masyarakat Melayu luarbandar. Pada masa yang sama, Bank Rakyat telah membuktikan transaksi yang dilakukan untuk perniagaan ini adalah mudah, beretika dan amat menguntungkan. Malahan Bank Rakyat telah berjaya melonjakkan paradigmanya daripada bank koperasi yang hampir muflis kepada bank yang begitu berdaya maju.

Berfikirlah secara rasional dan berhikmah dalam menangani sesuatu masalah dan pastikan sebarang tindakan yang dilakukan tidak menunjukkan kedangkalan dan kecetekkan daya intelek kita. Sekiranya melawan api dengan api dan angin dengan angin dikhuatiri kebakaran besar menimbulkan bencana dan yang menjadi mangsa adalah mereka yang tidak berdaya. Kita semua maklum kemampuan dan keupayaan pihak berkuasa menyelesaikan kes seumpamanya tetapi ini bukan kes jenayah biasa malahan ia merupakan realiti kehidupan maya. Peminjam datang dari pelbagai golongan. Penyedia perkhidmatan juga dari pelbagai lapisan. Along lama pergi akan datang along baru, polis lama pergi polis baru datang tetapi keperluan material yang mendesak tetap berlaku di mana-mana.

Dalam meneliti permasalahan ini, pihak yang bertanggung jawab dalam hal-ehwal kewangan dan perbankan patut bersama-sama dengan kerajaan menyusun strategi yang mampu menjadi alternatif kepada para pelanggan along ini untuk mendapatkan perkhidmatan. Langkah yang paling agresif patut diperkenalkan adalah menginstitusikan golongan along ini sebagaimana yang dilakukan kepada pajak gadai, atau penarik kenderaan. Melaluinya diwujudkan prosedur dan tatacara yang teratur dan sempurna supaya mudah dipatuhi (standard operational procedures). Malahan penguatkuasaan kutipan bayaran balik, tindakan mendapat kembali pinjaman, dan seumpamanya patut diwujudkan pelarasan garis panduan. Ini akan berupaya membantu kerajaan dan pihak berkuasa memantau, menyelia dan menguatkuasakan peraturan dengan lebih mudah dan berkesan. Apabila diinstitusikan along akan mudah dikesan dengan alamat perniagaan yang telus, nombor perhubungan malahan individu yang terlibat dalam industri ini dengan segera dapat disimpan dalam pengkalan data. Betullah kata pepatah sekiranya kita bijak dan mahu berfikir semua mampu ditangani dengan mudah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tidak berselerak.

Dengan itu, perisytiharan perang bukanlah satu-satunya jalan terbaik dalam menangani masalah ini kerana ia bukannya melibatkan satu pihak pelaku sahaja. Melalui strategi di atas, dipercayai keseluruhan jentera pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan gaya baru yang Gemilang, Cemerlang dan Terbilang itu akan menerima penghormatan bukan sahaja kawan tetapi juga lawan. Apa yang dikehendaki oleh masyarakat dan warga Malaysia adalah kesejahteraan hidup yang total dan tidak hanya tertakluk kepada sebahagian aspek kehidupan sahaja bersesuaian dengan konsep Islam Hadhari yang menekankan kesejahteraan, kesederhanaan, dan kecemerlangan sejagat.

Along dan peminjam merupakan hanya sekelumit daripada pelbagai golongan lapisan masyarakat yang menghuni negara tercinta ini. Walau apapun permasalahan yang wujud hasil interaksi dua golongan ingin kelak akan meninggalkan implikasi kepada seluruh masyarkat kerana struktur masyarakat kita yang saling bergantungan antara satu sama lain. Diibaratmana anggota tubuh badan, sekiranya satu darinya sakit maka yang lain akan turut sama berkongsi kesakitan itu. Dalam situasi yang ekstrim mungkin kita boleh mengaitkan kegiatan negatif seperti curi, culik, samun dan ragut adalah kesan langsung akibat kegawatan ekonomi yang dihadapi sebahagian daripada anggota masyarakat yang benar-benar terdesak. Samada disebabkan tidak mempunyai sumber kewangan ataupun akibat dikejar along sebab hutang gagal dilangsaikan.

Oleh itu, dicadangkan bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Negara memanggil pakar ekonomi, keselamatan, KDN dan NGO daripada pelbagai pertubuhan, individu dan cendikiawan serta ilmuan untuk duduk semeja merumuskan satu plan tindakan yang komprehensif untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini sehingga tuntas ke akar umbinya. Selagi ia tidak ditangani dengan bijaksana dan bersifat situasi sahaja masalah ini tidak akan berakhir. Ia hanya umpama memadam api di tanah gambut apabila api marak telah padam tetapi baranya masih bernyala dan hanya reda untuk seketika dan sentiasa menanti peluang untuk marak semula.

DR. AHMAD ZAKI B. ISMAIL

Suite C2, Taman Tunku,

Bukit Tunku Off Jalan Duta,

50480 KUALA LUMPUR Tel: 0362012404 h.p: 0193364814

2.

Disiarkan dalam Berita Harian 30 November, 2004 (halaman 11/rencana)

INDUSTRI ASAS TANI PAK LAH DI BAWA KE CUBA

Dalam lawatan PM Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Cuba baru-baru ini, bidang yang menjadi tumpuan beliau adalah bioteknologi, bioperubatan dan yang berkaitan R&D bidang pertanian. Dengannya adalah diharapkan dapat benar-benar menggerakkan industri asas tani ke satu tahap baru yang dapat dibanggakan serta dinikmati oleh negara khususnya yang berkaitan dengan produk berasaskan herba dan bio-teknologi. Kerana, telah banyak diperkatakan mengenai industri asas tani oleh pelbagai pihak, tetapi potensi sebenar yang boleh diperolehi daripada sektor ini masih lagi samar. Ia berlaku disebabkan kerana kurangnya penyebaran maklumat untuk dijadikan bahan rujukan dan menjanakan minat bagi menyuburkan pembabitan lebih ramai usahawan secara lebih komited dan bersungguh-sungguh.

Hakikat bahawa negara mempunyai pasaran seluas US 4.5 billion (RM18 billion) untuk produk-produk seperti perasa, pewangi, keperluan farmasi, kosmetik, perubatan, makanan dan minuman berasaskan herba mungkin tidak ramai di antara kita yang menyedarinya. Malahan sekiranya kita mengambil kira senario pasaran herba dunia kita akan disajikan dengan satu kejutan di mana pasaran dijangka berkembang dari US 22.4 billion pada tahun 2004 kepada US 5 trillion pada tahun 2050.

Malaysia selaku negara yang mempunyai pelbagai kelebihan dalam sektor pertanian. Dengan sokongan oleh sektor awam dan dengan kedudukan geografi, serta kemampuan yang sedia ada. Malah ditambah dengan anugerah alam semulajadi, negara ini sepatutnya berupaya memfokuskan semula aktiviti ekonominya. Kita sepatutnya lebih menekankan kepada aktiviti sebegini daripada menyaingi negara maju yang lain dalam bidang yang mungkin agak baru dan asing kepada kita.

Dengan meneliti kepada pertumbuhan industri herba untuk tujuan ekspot sahaja sebagai rujukan dilihat kenaikan sebanyak US 3.2 billion (2001-2002) dalam tempoh setahun sahaja (Sumber MIGHT). Bayangkanlah dengan nilai yang melebihi RM10 billion kenaikan itu dan hampir RM100 billion pasaran seluruh dunia sekiranya kita berupaya mengecap sebahagian kecil sahaja tentulah senario ekonomi negara ini tidak lagi dalam keadaan terdesak dan sentiasa menagih simpati dari pelabur asing untuk melabur dalam sektor perindustrian yang kita tidak mungkin boleh menjadi penerajunya.

Situasi ini adalah baik dari segi strategi jangka panjang untuk meneruskan kelangsungan dan daya juang ekonomi kita dalam pasaran global. Pengalaman negara Thailand adalah sesuatu yang unik untuk dicontohi. Walaupun ia mungkin bukan model yang terbaik untuk diikuti tetapi telah berupaya membuahkan hasil yang amat memberangsangkan. Dengan kedudukan kita yang terbaik daripada pelbagai sudut termasuk infrastruktur, daya intelek, kepakaran dan kemantapan politik tiada sebarang keraguan untuk kita menjadi pemimpin kepada order baru industri tani dunia.

Usaha-usaha awal kerajaan melalui MIGHT, MINT, IMR, MARDI, FRIM, MPOB, FELDA, Institusi-Institusi Pengajian Tinggi, Kementerian Pertanian dan Agensi-Agensinya yang telah dan sedang melakukan pelbagai kajian saintifik dan penerokaan-penerokaan potensi. Langkah berkenaan perlu diteruskan, dimantap dan diuruskan secara lebih professional bagi mengoptimakan hasilnya bagi tujuan komersil. Usahasama kajian yang dilakukan dengan saintis-saintis bertaraf dunia dari MIT di Amerika, Jepun, German dan pelbagai negara maju yang lain tidak akan dapat dimenafaatkan sekiranya maklumat-maklumat dan penjumpaan-penjumpaan yang dilakukan hanya tersimpan sebagai rekod semata-mata.

Walaupun terdapat beberapa usaha pengkomersialan sebelum ini masih kurang berjaya, ini bukanlah bermakna sektor ini kurang berpotensi. Cuma apa yang perlu dihayati adalah bagaimana cara yang lebih sesuai dan pendekatan yang lebih ampuh mampu dilaksanakan dalam mencapai hala-tuju baru ini. Proses pembelajaran yang berterusan dan sokongan yang mantap amat diperlukan untuk merealisasikan hasrat yang amat bestari ini. Pada masa yang sama, kita patut turut menyedari terdapat segelintir warga korporat yang bukan sahaja tidak prihatin terhadap usaha-usaha ini tetapi melihatnya sebagai satu peluang untuk memerangkap golongan professional dan tenaga akademik yang terlibat dalam usaha-usaha awal ini untuk kepentingan peribadi mereka. Inilah yang amat dikesalkan sehingga usaha-usaha mereka menjadi seolah sia-sia walhal keadaan sebenarnya adalah disebaliknya.

Beberapa langkah penting yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi menggalakkan pertumbuhan sektor ini adalah dengan memperbaiki infrastruktur yang sedia ada. Ia perlu melibatkan infrstruktur kewangan, pentadiran, teknologi, tenaga pakar, pengeluaran dan promosi. Selain dari itu, langkah lain yang perlu dibuat adalah dengan memilih individu-individu yang telah mempunyai rekod cemerlang di dalam bidang berkaitan seperti Prof. Dr. Johari Mohd. Saad (UM), Dr. Johari Mohammad (UM), Prof. Dr. Marziah Mahmood (UPM), Dr. Azizah Hamid (UPM), Dr. Zhari Ismail (USM), Prof. Dr. Azimahtul Hawariah Lope Pihie (UKM), Dr. Puziah Hashim (SIRIM), Dr. Zakiah Ismail (IMR), Dr. Azizol Abdul Kadir FRIM), Dr. Ng Lean Teik (FRIM) dan banyak lagi. Mereka ini hanyalah sebahagian daripada puluhan nama lagi yang tidak dicatitkan di sini. Tetapi mereka ini adalah merupakan tenaga utama dan aset yang boleh menggerakkan industri ini dan menjadi pemangkin kepada kemajuannya.

Selanjutnya, langkah pengkomersialan produk yang dikenalpasti berpotensi perlu segera dilakukan sebelum ianya dirompak oleh lain-lain penjenayah komersial antarabangsa dan dalam negara sendiri melalui pelbagai cara dan gaya. Ini termasuklah proses mempatenkannya. Sehingga hari ini terdapat tidak kurang daripada 40 jenis tumbuhan tropika di negara ini telah dikenalpasti mempunyai potensi untuk dikomersialkan. Antaranya adalah tongkat ali, kacip fatimah, pegaga, temu lawak, hempedu bumi (akar cerita), lempoyang, cengkih, pudina, halia, tutup bumi, sembung, kunyit, gelenggang, ubi jaga, mengkudu, china maki, akar mengkunyit, pokok kapal terbang, lada hitam, nilam, serai wangi, cekur, inai, gelam, rempah gunung, selasih, melati, cempaka, kayu manis, medang sintok, kenanga, gaharu, asam gelugur, misai kuching, senduduk, dukung anak, dan patawali.

Setakat ini, hanya sebahagian kecil daripada tumbuh-tumbuhan di atas telah berjaya dikomersialkan. Bayangkanlah sekiranya kesemua jenis di atas diberikan nilai tambah dan dijadikan komoditi baru pertanian negara dan setiap satunya mampu menghasilkan RM 1 billion setahun tentulah kemantapan ekonomi negara ini tidak akan lagi berjaya digugat oleh sesiapa sahaja dan pada sebarang ketika. Negara tidak lagi perlu terumbang ambing dengan permainan harga komoditi utama yang sering dimanipulasikan.

Perkara yang paling menarik boleh berlaku adalah di mana kita boleh menjadi peneraju dan pemimpin dalam satu industri besar yang amat berpotensi dan mendatangkan faedah pada segenap lapisan manusia. Kita tidak perlu lagi menjadi hamba dan pengejar teknologi-teknologi baru ciptaan barat dan sentiasa menjadi tempat mereka melambakkan produk mereka atas dasar ‘pemindahan teknologi’. Malahan dengan perkembangan muttakhir yang begitu ketara terutama di negara-negara barat sendiri melalui kempen ‘back to nature’, “ nature’s healing’, “green world’ dan seumpamanya dan adalah tidak keterlaluan dikatakan di sini bahawa ramai di antara mereka yang akan datang samaada menjalankan usahasama ataupun mempelajari teknologi herba negara sedikit masa lagi.

Pernyataan-pernyataan di atas bukan berasaskan emosi semata-mata tetapi bersifat kondusif dan adalah berasaskan fakta. Terpulanglah bagaimana seriusnya kita untuk melaksanakannya. Masa laungan retorik Malaysia boleh dan penciptaan rekod-rekod Guiness telahpun berlalu, kerana tindakan perlu digerakkan untuk menzahirkan semangat itu ke arah agenda memakmurkan ekonomi negara pula. Kerana masih banyak insan merempat, kebuluran, berpenyakit di seluruh pelusuk tanah air. Mungkin, hasil yang dijanakan melalui usaha-usaha ini mampu dilampiaskan kepada mereka melalui pelbagai program yang tidaklah mampu menempa nama yang gah tetapi kita berupaya menikmatinya bersama.

3.

Berita Harian 10 September, 2004 Hal 16

SEJARAH PAK KADUK MUNGKIN BERULANG

Pembangunan boleh dijelmakan datang dengan seribu wajah. Walaupun zahirnya banyak ditonjolkan dalam watak yang protagonis tetapi ia tidak semestinya membawa implikasi positif secara berjajar sepanjangan. Inilah perkara yang dikhuatiri akan menimpa masyarakat Bumiputra di pelosok tanah air ini selepas menikmati kemerdekaan yang ke 47 tahun baru-baru ini.

Tulisan ini ditonjolkan melalui metafora watak Pak Kaduk hanyalah sebagai nostalgia kenangan silam di mana kemenangan yang dinikmati tidak semestinya merupakan sebuah kejayaan. Analogi mudah ini hanya boleh difahami oleh mereka yang berbahasa Melayu, mengamalkan budaya Melayu, dan menerima Melayu itu kerana sifat-sifat ke Melayuan yang ada pada dirinya sendiri.

Usaha-usaha mengKadukkan Bumiputra telah bermula sejak lama dahulu dan ia dilakukan oleh pelbagai bangsa, keturunan, dan pada berbagai masa, ketika dan kondisi serta pada sebarang kesempatan. Nampaknya, lagu lama itu kini telah diberikan nafas baru oleh pemimpin-pemimpin generasi baru yang kononnya mewakili Melayu baru pula. Entah di mana barunya tidak siapa yang boleh memberikan tafsiran yang sewajarnya, yang mungkin menjelaskan kebaharuan itu adalah perilaku mereka yang lagaknya seperti orang kaya baru itulah agaknya.

Dengan lantang dan berdegar-degar laungan tempik sorak dan hingar-bingar golongan Melayu baru ini telah mencampak tongkat mereka dan menendang tangga lalu menghayun kaki di rumah baru yang baru mereka naiki dan diami. Pedulikanlah dengan generasi yang mendatang samada mereka tempang, patah atau riuk bukanlah urusan mereka lagi. Kerena mereka telahpun habis menggunakan tangga dan tongkat itu yang telah berupaya melonjakkan mereka ke tangga jaya kini. Kini mereka tidak perlu tongkat dan tangga itu lagi. Kerana mereka tidak perlu, orang lain juga menurut sifir mereka tidak perlukan juga, sebab mereka ini golongan yang bijaksana dalam matematik dan sifir congak.

Maka ditimbulkanlah pula isu-isu untuk merombak, ubah suai dan sebagainya segala keistimewaan yang dimilikki Bumiputra termasuklah rezab Melayu dan Kampong Baru yang dimilikki Melayu atas nama pembangunan dan nak membantu bangsa Melayu menerokai kemajuan. Mereka ingin memajukan Melayu yang pada mereka tidak semaju diri mereka. Maka dihalalkanlah segala macam alasan untuk mewujudkan halalcara bagi mengKadukkan Melayu supaya bolehlah bersorak-sorai apabila ayam pembangunannya berjaya mengalahkan ayam kampong dungu yang statik dan enggan menerima perubahan.

Pokok perspektif ini bukanlah penolakkan pembangunan secara totok, tetapi bagaimana kita menterjemah dan merealisasikan pembangunan itu sendiri yang teramat penting perlu dihalusi. Analogi Kaduk adalah mudah untuk di analisa secara kritis oleh kita disebabkan kita memang mengenali watak berkenaan dan musibah yang menimpa watak tersebut kerana kekhilafannya dalam membuat keputusan yang kritikal. Walaupun memperolehi kemenangan, tetapi kemenangan itu bukan menjadi hakikinya. Malahan ia memberikan musibah kepada Kaduk sehinggakan bukan sahaja kampongnya tergadai tetapi maruah dirinya sendiri turut berkecai apabila pakaian kertasnya bersepai.

Inilah hikmahnya menjadi bangsa Melayu jati yang meneliti dan mengkagumi keunikan bangsa, bahasa dan budayanya yang pernah menjadi pendominasi niaga dan budaya bukan di nusantara semata-mata tetapi keseluruh pelosok dunia. Ini telah dibuktikan sejarah dimana kita pernah duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lain-lain bangsa Eropah, Arab-Parsi, India dan China. Kita berkomunikasi dengan gaya dan bahasa sendiri. Rujuklah artifak sejarah di Leidin Museum di mana Raja Eropah menulis dalam tulisan Jawi-Melayu kepada Raja Melayu menggambarkan penghormatan mereka kepada bahasa, budaya dan jati diri kita. Lupakah pula bagaimana Sultan Mansur berkahwin dengan puteri China kerana mengakrabkan hubungan. Sekiranya Melayu tidak hebat mahukah Maharaja China bermenantukan Melayu?.Apakah globalisasi dan liberalisasi hari ini adalah sesuatu yang baru kepada kita?

Meneliti kepada kes di atas, satu analisa yang lebih mendalam perlu dilakukan sebelum kerajaan melaksanakannya. Kerana sehingga kini kita telah melihat bahawa terdapat semacam satu arah yang tidak disenangi sedang melanda status ketuanan Melayu ini. Atas nama pembangunan banyak tanah rezab Melayu telah di ambil alih oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Banyak lebuh raya, jalanraya, paritraya, pencawangraya letrik, stesyenraya pemancar dan pelbagairaya lagi telah menggunakan rezab-rezab berkenaan. Malangnya selain sedikit pampasan, rezab-rezab ini tidak pernah digantikan semula malahan pihak berkenaan sengaja buat-buat lupa kepada obligasi berkenaan kepada bangsa mereka sendiri.

Tidak cukup dengan angkara di atas, atas nama pembangunan pelbagai strategi dilakukan secara sedar atau di bawah batas kesedaran usaha sedang dibuat bagi menghakis kuantiti pemilikan harta di kalangan bumiputra. Agenda ini sama seperti yang dilakukan oleh Yahudi dalam proses menubuhkan negara mereka Israel sekarang ini melalui proses pembelian dan perundangan secara halal dalam menghalalkan gerakan haram mendominasikan bumi Arab. Inilah kebenaran sejarah yang patut kita pelajari, itulah faedahnya belajar sejarah selain daripada kewajipan menguasai bahasa-bahasa asing, matematik dan sains. Tidak ada gunanya menjadi saintis, jurutera dan sebagainya tetapi merempat dan menjadi kuli di negara sendiri tanpa harga diri. Sinisnya senario ini telahpun terbukti di negara jiran kita, pandanglah dan lihatlah dengan mata terbuka dan dada yang terluka.

Perancangan yang mencukupi dari segi perundangan dan penguatkuasaan adalah amat diperlukan dalam mengatasi rencana petualang yang berselindung dibalik limpahan cahaya pembangunan. Dikhuatiri ada agenda yang tersembunyi disebaliknya, ada udang disebalik batu dan ditakuti telunjuk lurus tetapi kelingking berkait. Renungkanlah, sekiranya Kampong Baru yang satu-satunya milik Melayu tulin dibangunkan sepenuhnya melalui proses yang disebutkan sebagai pembangunan bersepadu akan dikuasai secara menyeluruh oleh konglomerat pelbagai bangsa untuk tempoh 60 tahun. Bolehkah kita meramal tanpa sebarang langkah kawalan apa akan terjadi selepas tamat tempoh 60 tahun itu kelak. Apakah tidak ada cara lain kampong berkenaan boleh dimajukan tanpa menukarkan statusnya. Takkanlah para pemimpin kita atau para perancang bandar tidak pernah mengunjungi negara-negara seperti Thailand, Amerika dan pelbagai negara lain untuk meninjau senario pembangunan perkampongan tradisi mereka?. Takkanlah Kampong Baru tidak boleh dibangunkan mengikut acuan perkampongan moden di tengah bandar. Kita tak perlukan bangunan tinggi pencakar langit di kampong berkenaan. Kita cuma mahukan membangun dan menambah nilai kepada harta pusaka Melayu di kampong berkenaan. Jika itu benar-benar hasrat ikhlas semua pihak, rasanya kita telah menemui jawapan kepada persoalan-persoalan asas kepada pelbagai andaian sebelum ini.

Hal yang sama juga perlu dilaksanakan kepada pembangunan rezab Melayu supaya keupayaan ekonomi Melayu tidak bertambah layu lagi. Pelan pembangunan perlu dilaksanakan secara bersepadu dan tidak dipengaruhi agenda persendirian. Banyak nilai tambah boleh diberikan kepada tanah-tanah berkenaan melalui cara yang lebih sopan, mantap dan berdaya maju. Kementerian-kementerian boleh menggembelingkan kepakaran, sumber kewangan dan pelantar mereka bagi menterjemahkan program pembangunan berkenaan. Ia perlu dilakukan dengan cara yang berhati-hati dan menongkah arus kerana membangun harta tradisi tidak boleh menggunakan polisi dan pendekatan konvensional.

Satu plan utama dan kajian yang mendalam serta pemetaan perlu dilakukan untuk meninjau potensi-potensi serta kegunaan harta-harta berkenaan. Selanjutnya, jawatankuasa pemandu dan pemacu perlu diwujudkan dan perlu digerakan secara dinamik sebgaimana MTEN dilaksanakan. Kemudian, barulah diusahakan oleh agensi-agensi amanah yang dilantik oleh kerajaan berusaha ke arah membangunkannya mengikut corak yang dipilih menurut kesesuaian. Adalah diyakini hanya inilah satu-satunya cara yang dapat membantu bumiputra di negara ini terus mengekalkan pemilikan asset mereka dan pada masa yang sama meningkatkan nilai dengan kadar yang lebih bersaing.

Kepada mereka yang bercakap tanpa berfikir dan bertindak tanpa memeriksa sedar dan insaflah, satu hari nanti kelak mereka akan ditanya oleh anak cucu kita kenapakah kebebalan Pak Kaduk tidak pernah menjadi pelajaran berguna. Janganlah terlalu mengharap kebijaksanaan berbahasa asing meluputkan kemampuan sendiri menggunakan kecendikiawan bangsa dalam mentafsir bencana. Disamping menerokai sesuatu perkara, banyak perkara lain telah kita terlupa tentangnya. Bila merenung bintang di langit, rumput di bumi jangan dilupa.

4.

Diterbitkan dlm Utusan Malaysia

Hal:7 pada 27Sept. 2004.

BUKTIKAN KHIDMAT SEBELUM TAGIH SOKONGAN

Maka bermulalah persidangan UMNO dengan begitu bergaya, meriah, dan grandeur. Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan situasi yang dipaparkan bermula pada detik-detik persediaan, persidangan, pemilihan, debat-perbincangan dan penutupan perhimpunan agung berkenaan. Kesemuanya diberi liputan yang begitu meluas, seluruh mata terbuka luas, detik waktu seolah terhenti seketika dan urusniaga, uruspejabat dan urusnegara juga mengalami sindrom yang seumpama. Inilah kejayaan terbesar yang amat nyata di mana keupayaan acara berkenaan merenggut dan menenggelamkan hal-hal lain yang berlaku pada detik-detik berkenaan.

Amat menyentuh perasaan apabila meneliti setelah sekian lama kita tidak lagi membicarakan agenda membangun dan menggembeling tenaga memajukan anak bangsa tiba-tiba letusan berkenaan bergema semula. Tetapi, masyarakat kini semakin keliru kerana seolah-olah berlaku pertembungan retorik politik dengan amanah bangsa. Dengan kata lain cakap tak serupa bikin. Kerana menggunakan topi politik, sipolan telah dengan berdegar-degar dan berapi-api memperjuangkan kesinambungan bangsa Melayu, kegagalan membesarkan penyertaan bumiputra dalam perkongsian kek ekonomi negara, pengangguran graduan Melayu dan pelbagai persoalan yang sewaktu dengannya. Malang benar bagi kita, bila sipolan pulang ke kandang sendiri dan memakai topi birokrasi segera beliau terlupa kata-kata tadi. Maka dengan wewenang menghentam, menghenyak sendiri anak bangsa tanpa rasa malu dan bersalah malahan melabelkan mereka sebagai tiada daya juang, tiada daya saing, bersikap mentaliti subsidi dan pelbagai macam tohmahan lagi.

Walaupun British adalah bangsa penjajah tetapi mereka prihatin terhadap soal kebajikan dan pendidikan. Melalui sistem pendidikan mereka barulah kita berupaya membuka mata, telinga dan minda masyarakat desa di pendalaman. Mereka bukan hidup di zaman anda pemimpin muda yang lahir di hospital swasta berdingin hawa. Tetapi mereka bersama ibu bapa marhaen mengharung jerih payah menongkah arus membina kejayaan hasil perih, keringat dan airmata Pak Tua di desa. Sekiranya mereka berjaya ke menara gading, walaupun tanpa biasiswa merupakan satu pencapaian luarbiasa berbanding dengan golongan anda yang bijak melakar bicara.

Kini ke mana arah mereka selepas mencapai tahap graduan. Masihkah layak kita mengatakan mereka tidak kompeten dan kompetitif?. Ini belum termasuk pelbagai percubaan dan rombakan sistem pendidikan negara yang seolah-olah main hentam keromo mengikut nafsu individu semata-mata. Saban tahun, saban ketika pelbagai ubahsuai dilakukan sehingga bukan sahaja membingungkan para pelajar tetapi turut meninggalkan kesan trauma pada para pendidik yang berdedikasi. Akhirnya, anak muda pelajar menjadi semakin keliru, ibu-bapa semakin haru dan anda di sana masih layakkah menuduh marhaen-marhaen berkenaan manja dan malas?

Memang mengkagumkan melihat kereta yang menjalar memenuhi jalanraya sewaktu persidangan hingga bukan setakat menyesakkan kawasan sekitar tetapi turut menular hampir ke seluruh bandaraya. Belum lagi melihat bagaimana para perwakilan berbelanja dari kawasan PWTC hinggalah ke Starhill. Pameran kemewahan ini memitamkan akal orang kampung kerdil untuk bertanya bilakah bantuan PPRT, perubatan, makanan, keperluan persekolahan,atau biasasiswa boleh mereka terima?. Wanita melaram dengan gaya tersendiri, jejaka berlegar bagai kota milik mereka. Benarkah mereka semua pejuang bangsa? Walhal ketika persidangan sedang berlangsung mereka memenuhi kompleks perniagaan dan coffee house hotel bintang lima. Dapatkah mereka menghayati segala macam debat dan usul yang sebahagiannya datang dari mereka yang nun jauh di desa.

Bolehkah kita menyalahkan pejuang veteran yang rata-rata menyuarakan kekhuatiran mereka terhadap budaya cakap tak serupa bikin ini dan kegagalan ahli menghayati konsep asal perjuangan parti. Persidangan bukanlah satu pesta seperti pesta ria dan konsert rock. Ianya sesuatu yang amat serius dan perlu diladeni dengan penuh komitmen. Kuantiti yang banyak tanpa kualiti bukanlah asset tetapi merupakan liabiliti. Percayalah, kalau sesuatu tidak dilakukan, nescaya Melayu akan segera layu. Ucapan dan perdebatan yang diutarakan sebagai yang dijangka memang menarik hati. Wakil yang berucap masing-masing menonjolkan pelbagai watak dengan multi-warna dan isi yang disentuh. Pertandingan yang melihat jatuh bangun barisan kepimpinan ketiga-tiga sayap parti bumiputra ini menyaksikan pelbagai kerenah suka duka. Yang menang senyum simpul dengan cerianya, yang gagal walaupun bermuram durja tapi masih mempamirkan senyum luka tetapi tetap berikrar membantu parti dalam mengharungi pancaroba.

Selain penghujahan yang begitu bernas, terus terang, berani dan berwibawa dari Dr. Mohd Fuad Zarkashi, Ketua Bahagian Batu Pahat yang kebetulannya semenjak di zaman pengajian beliau di Universiti Malaya lagi pada awal 1980an telah melibatkan diri secara aktif dalam politik kampus. Lain-lain pembahas nampaknya hanya berbahasa basi walaupun cuba menyentuh seimbas lalu perjuangan dan keperluan memperjuangkan serta kesinambungan penguasaan multi bidang di tangan bangsa Melayu. Rasanya kedangkalan pemahaman terhadap isu serta budaya membaca, meyelidik dan mengkaji masih belum dihayati oleh setiap perwakilan. Tiada sebarang fakta yang berupa statistik yang menyokong segala hujah. Ini membenarkan kata-kata sesetengah pihak bahawa kita hanya pandai bercakap melalui mulut tanpa menggunakan otak. Sepatutnya setiap hujah mestilah disokong fakta dan setiap permasalahan yang timbul perlulah dianjurkan jalan penyelesaian dan tindakan susulan yang patut dirangka serta dilaksanakan.

Perbuatan melempar batu sambil menyembunyi tangan bukanlah satu pekerti yang terpuji. Dengan kata lain, kita melontarkan pelbagai masalah kepada dewan persidangan dengan mengambil waktu yang amat berharga itu amatlah merugikan.Sedangkan, kiranya segala peluang itu digunakan sebaik mungkin dalam memberikan cadangan yang bernas dan pelan perlaksanaan ianya amatlah berfaedah. Kerana pada ketika itulah kesemua para pimpinan kanan negara berhimpun, pada detik itulah segala peluang tersedia untuk digunakan sepenuhnya membantu mereka lebih memahami keadaan. Majlis cemerlang ini bukanlah pesta semata tetapi merupakan wadah bertindak, bukan juga tempat gurau senda dan lawak jenaka ataupun tempat mengadu domba, kata mengata, nista dan mencela.

Seperti mengata dulang paku serpih, apabila ketua pemuda menghabiskan hampir sebahagian besar daripada masa yang begitu berharga yang diperuntukkan kepada beliau untuk menyampaikan amanat dan wawasan sayap yang diterajui olehnya ke arah yang sia-sia mengutuk dan menghentam mantan bekas timbalan perdana menteri yang sedang mendapatkan rawatan di luar negara. Walhal, ia telah diputuskan dan telah diterima sebulat suara oleh MT. Kesan daripada ucapan beliau telah menimbulkan kesan buruk kepada umum seolah-olah kekuatan mantan bekas TPM itu begitu gah hingga perlu dibincangkan dengan begitu panjang lebar. Ia secara langsung memang membenarkan dakwaan pembangkang sindrom Anwar masih lagi relevan dan menghantui UMNO. Begitulah komentar spontan yang diperolehi daripada rakyat umum. Malanglah sekiranya budaya takut kepada bayang-bayang dan cakap tanpa fikir masih lagi menjadi budaya golongan muda ini.

Kita amat bimbang, sekiranya segala cakap dan saranan dalam perhimpunan terpenting dan terbesar ini hanya habis sebaik sahaja lagu UMNO dan negaraku habis dikumandangkan di PWTC kelak. Balik ke tempat masing-masing tidak disusuli dengan tindakan. Kita memang suka bercakap tapi kurang bertindak. Kerana itulah mudah orang lain memperkotak katikkan kita sejak sekian lama. Sudahlah asyik hentam dan kutuk, bila tiba masa untuk bertindak masih lagi leka menuding jari mengharapkan orang lain melakukan kerja dan agenda di depan mata.

Masyarakat seluruh negara sedang menyaksikan anda semua. Berpestalah sepuas hati, nanti jangan anda lupa bahawa air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Jangan melolong dan berhiba bila buaya menggigit kaki dan mengheret anda ke dasar sungai. Jangan terperanjat, bila tangan yang memangkah dan mengundi anda tidak lagi sudi menarik anda ke tebing. Masyarakat tidak buta, masyarakat tidak beku mungkin kita semua yang gagal melihat kebenaran di sebalik kemilau kejayaan besar kita. Ingat, kerusi empuk kita, ingat wangian haruman kasturi di pejabat mewah kita adalah hasil sumbangsih mereka yang berkeringat hamis dan berbau Lumpur. Mereka bukanlah yang pandai berbahasa penjajah dan berkomunikasi melalui jalurlebar ataupun hubungan tanpa wayar seperti kita. Mereka yang kita tuduh malas, tidak pro-aktif, gagal memahami globalisasi dan serba macam bahasa indah yang tak layakpun untuk kita tutur pada anak kita sendiri yang duduk dalam banglo mewah, memandu kereta lambang bintang atau kuda liar.

Siapakah kita tanpa mereka. Jangan hanya cakap berdegar-degar, masyarakat mahukan bukti. Pada sebelah tangan kita menyatakan kita menyokong perjuangan bangsa, tetapi dengan tangan yang sama juga kita mencincangnya dengan tingkah laku dan tindakan melalui keputusan-keputusan pentadbiran yang kita ambil. Walaupun sebahagian anda dilahirkan oleh para pejuang bangsa sebelum ini, tetapi ia bukan tiket untuk mendapat simpati sekiranya anda sendiri yang menuang racun ke dalam periuk nasi sendiri. Percayalah, masanya akan sampai apabila mereka di sana telah meluat melihat sandiwara kita. Kurangkan bercakap, banyakkanlah tindakan, betulkanlah haluan.

Amat susah untuk mendengar teguran, apabila pujian telah menjadi budaya. Amat sukar menjadi pejuang apabila kedudukan telah dikomersilkan. Luncai terjun dengan labu-labunya tapi bolehkah kita membiarkannya?. Fahamkah anda semua peribahasa lama Melayu itu kerana mungkin anda semua tidak lagi selesa berbahasa Melayu. Mungkin anda juga tidak lagi membaca akhbar Melayu malahan tidak mustahil juga anda telah tidak melanggani lagi bahan bacaan dari bahasa Melayu ini untuk diri anda, keluarga anda, malahan di pejabat anda. Memang malang media Melayu, edaran besar hanya untuk tatapan masyarakat kampung. Kerana itu, para pengiklan pun tidak lagi sudi mempamerkan iklan mereka di akhbar anda. Tetapi dengan tidak malunya kita masih meracau-racau meminta mendaulatkan bahasa kampungan ini. Malahan bercakap untuk memertabatkan bangsa Melayu tetapi menuduh pejuang budaya dan bahasa di luar sana sebagai cauvinis, tidak malukah kita?.

Tanpa sokongan, malah menghentam bangsa sendiri menyebabkan bukan kita sahaja merasa terhina malahan seluruh rakyat Malaysia yang berjiwa patriot turut merasa tersentuh. Sebab pulut santan binasa, yang selanjutnya anda akan bisa meneruskan sendiri. Layakkah kita meminta sokongan dari orang yang kita lanyak sedemikian rupa. Kita mesti rasional menterjemahkan bahawa sokongan diperhimpunan ini bukanlah lambang kemenangan total. Kerana di luar sana ada lebih 3 juta lagi ahli UMNO dan ada 20 juta lagi warga Malaysia. Mereka sedang memerhati, menilai dan menunggu masa untuk menyokong atau melanyak kita. Budaya demokrasi negara telah semakin matang dan mantap. Mereka di Pantai Timor telah membuktikannya dan tidak mustahil di Pantai Barat akan mencontohi pula.

Mana tindakan atau sekurang-kurangnya pelan ingin membantu media perdana berbahasa kebangsaan, mana agenda membantu agensi bahasa, mana arah tuju untuk meningkat mertabat dan penggunaan serta penguasaan bahasa Melayu sehingga selepas 47 tahun merdeka masih ramai rakyat yang gagal menguasai bahasa ini. Hatta sewaktu PLKN dijalankan arahan yang diberi oleh fasilitator gagal dipatuhi kerana tidak faham bahasa ini. Sedungu-dungu pelajar sekolah aliran kebangsaan setakat arahan biasa bahasa penjajah dengan mudah boleh difahami cuma mungkin tidak seperti kita yang lebih fasih bertutur bahasa berkenaan dari penutur jatinya sendiri.

Jangan lupa, orang yang meludah ke langit selalunya menerima tempiasnya kembali dan inilah yang dikhuatiri berlaku. Dengan itu, pastikan kita jangan meludah merata-rata takut terpalit diri sendiri. Marilah kita bertindak secara bijaksana bukan hanya pandai berkata bicara sahaja, kerana burung nuri pun boleh bergurindam seloka. Jadikanlah perhimpunan ini sebagai wadah untuk menadah segala macam khazanah dan amanah yang datang dari seluruh pelosok tanah air. Kita kumpul, semak, fahami kembali apa yang mereka di luar sana mahukan. Selanjutnya berikan mereka khidmat kita terlebih dahulu sebelum kita menagih kesetiaan mereka.

DR. AHMAD ZAKI B. ISMAIL

Suite C2, Taman Tunku,

Bukit Tunku Off Jalan Duta,

50480 KUALA LUMPUR Tel: 0362012404 h.p: 0193364814

5.

Nota: Disiarkan di akhbar Berita Harian pada:27 Ogos, 2004 hal: 16

ISI DAN INTIPATI KEMERDEKAAN SEBENAR

Tarikh keramat 31 haribulan Ogos akan menjelang tiba tidak lama lagi. Genaplah 47 tahun kemerdekaan negara kita. Ketakutan dan kekalutan yang sering menerjah minda kita di kala ini bukan sama sepertimana ketakutan dan kekalutan yang dihadapi oleh para pejuang kemerdekaan setengah abad yang lalu. Cabaran memperjuangkan kemerdekaan telahpun berjaya mereka laksanakan tetapi perjuangan mengisi agenda selepas kemerdekaan dilihat telah banyak menyimpang dan hilang arahtuju.

Memang benar pepatah pujangga memperolehi kemenangan tidaklah payah tetapi mempertahankannya adalah cabaran yang sebenar. Realiti saban hari di media massa muttakhir ini telah memaparkan pelbagai gejala kebobrokan sahsiah diri anggota masyarakat sehingga menimbulkan persoalan apa telah terjadi pada negara tercinta ini. Kalau dahulunya negara bergelut dengan isu-isu pembangunan, pelajaran, dan memperbaiki ekonomi serta mempereratkan perpaduan bangsa tetapi dengan situasi semasa yang berbeza bolehkah lagu lama didendangkan lagi.

Saban hari di dada media massa terpapar pelbagai adegan ngeri jenayah, pembunuhan, kematian dan kebejatan sosial. Dari isu ponteng sekolah, gengsterisme, rogol, ragut, merokok, dan pembuangan anak amat merimas dan menyesakkan dada kita. Walau berbagai kejayaan dapat kita kecapi muttakhir ini tetapi ia tidak dapat mengimbangi keruntuhan moral yang turut berleluasa. Sekiranya langkah positif yang bersifat pro aktif tidak dilakukan besar kemungkinan kita akan gagal mengimbangkan antara kejayaan yang dicapai dengan keruntuhan akhlak generasi muda kita.

Umpama irama dan lagu dan ‘Yin’ dan ‘Yang’ atau air dan udara maka perseimbangan perlu diwujudkan dalam memenuhi aspirasi generasi muda yang berjaya. Kejayaan bukan sahaja dari aspek material tapi turut juga merangkumi aspek spiritual. Walaupun bentuk cabaran sebelum dan selepas kemerdekaan adalah berbeza tetapi asasnya adalah tetap serupa yakni. Pada alaf 2000 ini nampaknya generasi muda negara melihat cabaran-cabaran kehidupan adalah sebagaimana mereka melihat cabaran Malaysian Idol, Akademi Fantasia ataupun pelbagai rancangan realiti tv yang begitu hanyut, melekakan minda dan kosong agenda. Hanya keghairahan berhibur dan berfiesta-pora kelihatan di serata pelusuk tanah-air.

Menjengah penempatan elit di Bangsar ataupun ke kawasan pendalaman hingga kawasan penempatan peneroka nampaknya disko, minuman keras, dangdut, tayangan video erotik, wayang gambar merapu menampilkan golongan manusia tidak lelaki dan tidak perempuan yang tergedik-gedik, lembut lembai dengan sifat kesotongan mereka membuat kita tertanya-tanya ke arah manakah yang ingin dibawa media elektronik ini. Dari televisyen, radio, mahupun wayang dan video kecuali beberapa stesyen yang dihostkan oleh IKIM dan saluran-saluran utama RTM yang lain nampaknya tidak ubah seperti di Amerika.

Dari senario di atas, telah nyata negara kita dan rakyat Malaysia sememangnya telah kehilangan jati diri. Ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diakui, tetapi apakah perkataan lain yang boleh digambarkan untuk menyatakan fenomena ini?. Walaupun sedikit keras dan pahit untuk ditelan tetapi masih belum terlewat untuk diperbaiki. Biar terlambat jangan tidak langsung, sesuatu yang serius perlu dilakukan secara revolusi dengan agenda yang nyata dan bersistematik. Para pemimpin, jangan hanya pandai bercakap dan berkokok di atas singgahsana yang telah dibina oleh pejuang merdeka dari darah, keringat dan airmata mereka. Nanti takutnya kokok yang berderai tetapi ekor bergelumang tahi.

Tidak dinafikan pemimpin masa kini tidak kurang hebatnya daripada pemimpin pra-merdeka. Malah sebahagian besar dari mereka adalah anak dan cucu pejuang-pejuang hebat berkenaan. Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak adalah sebahagian daripada yang sedang mewarisi perjuangan bapa-bapa mereka. Sekiranya diizinkan Allah, kita juga akan turut melihat anak, menantu, adik dan saudara mara serta ipar-duai para pemimpin-pemimpin besar ini turut mewarnai arena politik negara kita. Kita melihat nama-nama seperti Dato’ Mokhzani, Dato’ Mukhriz, Mohd Khairi dan puluhan nama lagi yang tidak disenaraikan di sini sedang mencipta nama mereka.Tetapi apakah semangat, misi perjuangan dan jiwa yang sama terkandung dalam tubuh badan mereka-mereka ini. Pepatah ada menyebut bapa borek anak rintik, tetapi telah ada kucing telah melahirkan musang dipaparkan media muttakhir ini.

Kekhuatiran di atas memang amat berasas jikalau kita meneliti propaganda dan kenyataan-kenyataan yang lahir daripada pemimpin generasi wawasan ini telah banyak menikam kembali tapak tumbuh pertiwi ini. Bermula isu-isu agihan ekonomi pribumi, isu bahasa, budaya malahan agama Islam juga tidak lagi dianggap sensitif dan menjadi agenda perjuangan. Kelekaan bercakap isu global, teknologi canggih, dasar langit terbuka dan seumpamanya telah menjadikan kita benar-benar meneropong, leka dan merewang kepada kuman di seberang laut, walhal gajah di depan mata ditobruk buta. Kita tidak menentang globalisasi merentas benua tetapi sekiranya sampan yang dinaiki bocor tidak bertampal bagaimanakah lautan yang dalam hendak diduga.

Kekerasan bahasa ini bukan untuk menghentam sesiapa tetapi adalah selaku ubat herba untuk mengembalikan kita kepada agenda asal memperbaiki diri sendiri sebelum berpencak di gelanggang orang lain. Musibah Pak Kadok yang menang sorak kampungnya tergadai amat memilu dan memalukan kita. Ambillah ianya sebagai iktibar yang nyata. Kerana terlalu banyak hutang kita kepada negara dan bangsa ini yang masih belum dibayar. Apakah layak sekiranya kita beradu dalam kamar ratusan ribu di istana mewah sedangkan masih banyak marhaen seluruh pelusuk negara tidur di bawah kolong, di reban kambing, reban ayam, ‘seting-garden’ dan merempat.

Kita telah melabur berjuta dan berbilion ringgit untuk aero-angkasa, kilang besi, bangunan tinggi dan kompleks gagah seluruh pelosok negara. Semuanya tidak salah tetapi lakukannya dengan hati-hati dan bertanggung jawab serta seimbang dengan tuntutan asas kehidupan rakyat jelata. Mereka tidak minta proton perdana, mereka tidak meminta kondo mewah, tidak juga meminta untuk bersekolah di Sekolah Antarabangsa dan tidak minta makan di hotel lima bintang apa yang mereka semua pinta adalah permintaan asas untuk sebuah kehidupan. Makanan yang cukup seisi keluarga, rumah selesa untuk dihuni, dan pendidikan yang cukup untuk anak bangsa. Apakah ini keterlaluan dan begitu susah untuk dipenuhi?. Jangan anda semua kerutkan dahi pada kenyataan-kenyataan ini, kerana ianya benar-benar kenyataan dan tiada yang tidak benar melainkan benar belaka.

Semangat merdeka bukanlah semangat yang boleh ditunjukkan dengan hanya kibaran bendera, perarakan raksasa, laungan, pekikan, letupan bunga api, atau kereta berhias dan konsert hiburan. Pengisiannya yang amat perlu, kerana pakaian yang cantik belum tentu menggambarkan keperibadian sempurna pemakainya. Terlalu banyak metafora menunjukkan kedangkalan minda para penggubal dasar. Lebihkan bertindak dari luahan bicara retorik tidak bermakna.

Bertindaklah dari sekarang, mari kita berpijak di bumi nyata sebagai kata pepatah jangan hanya merenung bintang di langit hingga rumput di laman diinjak dipijak layu mati berkaparan. Tanpa rumput, tanpa bumi di manakah kita akan berpijak sebelum mampu mendongak ke atas melihat keajaiban cipataan Ilahi. Kerana itu, jadikanlah agenda baru ini sebagai keutamaan kerana nasib negara kita di masa hadapan bergantung kepada tindakan serta keprihtinan kita pada hari ini. Demi masa hadapan negara dan meneruskan kegemilangan kita serta semangat Malaysia boleh maka kita sudah tentu akan boleh mengatasi segala kemelut ini dengan berhemah.

Program Latihan dan Khidmat Negara adalah satu daripada saluran yang amat ampuh dan berkesan tetapi beban ini tidak akan termampu ditanggung oleh hanya satu saluran sahaja. Maka agenda ini sebenarnya perlu dilakukan secara komited, serentak dan teratur melalui satu perancangan nasional yang rapi serta mantap. Oleh itu, dasar pembangunan sumber manusia negara kita perlu diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya. Di Alaf baru ini manusiawi telah dilupakan akibat kecanggihan teknologi. Perasaan hakiki dan kasih sayang sesama makhluk semakin terhakis. Perkataan cinta telah luntur dan lusuh, mari kita binanya semula bagi mendapatkan banyak perkara yang telah kita tanpa sedari korbankan selama ini. Jadikanlah acara sambutan kemerdekaan ke 47 pada 31 Ogos 2004 ini sebagai hari kelahiran semula masyarakat Malaysia baru yang lebih harmoni, berkasih sayang, saling bantu membantu dan bertoleransi. Pembangunan yang dijana negara kelak akan lebih seimbang dengan aspek material dan spritual, rohani dan jasmani. Jadikanlah negara kita negara yang aman dan tenteram dan berdaulat serta mulia, gagah dan perkasa serta dihormati di seluruh dunia. Semoga warga kita hidupnya sempurna dan tidak menjadi manusia yang cacat moralnya walaupun hebat pencapaian mereka.

6.

Utusan Malaysia: Jumaat 3 Sept. 2004 Hal:7

INDUSTRI BURUH NEGARA PERLU HALATUJU

Selepas tanggal 31 Ogos yang akan menyaksikan kita merayakan hari kemerdekaan negara yang ke 47, bulan-bulan berikutnya kita akan turut meraikan Deepavali, Hari Raya Idil Fitri, kemudiannya diikuti Krismas. Memang semua hari-hari gembira ini sentiasa dinantikan oleh semua pihak. Tetapi dalam kemeriahan menyambut musim-musim perayaan ini generasi pelajar kita pula sedang berhempas pulas dalam demam dengan persiapan bagi menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Saban tahun puluhan, malahan ratusan ribu golongan muda ini menduduki peperiksaan dengan hanya satu matlamat iaitu lulus dengan cemerlang. Kerana kelulusan cemerlang adalah merupakan tiket untuk menempah tapak dan tempat yang terpilih di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di dalam dan luar negara. Ini adalah merupakan kefahaman umum terhadap sistem pendidikan dan peperiksaan di negara kita yang telah diguna pakai sekian lama. Persoalannya, adakah persepsi ini benar dan sistem di atas berupaya melahirkan sumber guna tenaga manusia intelek dan berwawasan serta tidak hanya menjadi jentera dan alat pemudahcara dalam proses penuaian hasil produksi ekonomi semata-mata.

Telah menjadi hasrat dan wawasan negara ketika ini untuk melahirkan golongan pekerja berpengetahuan atau k-pekerja dan pekerja yang berfikir (Thinking workers) agar berupaya melancarkan proses memajukan negara dan menganjakkan kedudukan negara dari negara membangun kepada negara maju menjelang 2020. Kejayaan wawasan berkenaan banyak bergantung kepada persepsi kita mengenai pendidikan, guna tenaga serta dunia pendidikan pada hari ini. Walaupun kerajaan begitu komited dalam mengejar wawasan berkenaan tetapi terdapat banyak pihak yang masih tidak bertindak seiringan untuk menuju ke arah yang sama. Lebih merungsingkan lagi, terdapat kelompok pemimpin politik dan korporat yang seolah-olah bercakap daripada perut dan tembolok semata-mata dan tidak bercakap dari segi intelektual. Mengambil iktibar dari kata pepatah kais pagi makan pagi dan kais petang ataupun budaya cuba-try telah banyak mempengaruhi tindakan golongan ini sehingga mereka bukan sahaja tidak menyumbang tetapi telah menjadi penghalang kepada arus perdana globalisasi masa kini. Segala keputusan dan tindakan yang dilaksanakan merupakan tindakan jangka pendek dan tidak dilaksanakan secara sempurna serta menyeluruh. Kiranya kita menurut kehendak golongan ini satu waktu dulu mungkin kita telahpun menjadi abdi IMF.

Kebelakangan ini, telah semakin menyerlah pandangan sempit golongan ini banyak diterima tanpa kita sedari bencana besar di hadapan kita sedang menunggu. Kemajuan sesuatu negara tidak diukur dari segi kemampuan kita menyediakan pekerjaan semata-mata dan memenuhi permintaan pasaran buruh sahaja. Kerana, sehingga kini pun kita sedang mengimpot tenaga kerja daripada pelbagai negara. Samaada tenaga buruh kasar ataupun professional, pokoknya tetap sama iaitu pergantungan kepada tenaga kerja asing. Ini bukanlah sesuatu yang sulit untuk difahami kerana ia hanya bersifat sementara sebagaimana juga yang di alami oleh jiran kita Singapura satu ketika dahulu di mana banyak rakyat kita bekerja sebagai buruh binaan di sana. Malahan Britain, Amerika, Australia, Jepun dan lain-lain negara pernah mengimpot tenaga pakar dan menciplak, malahan mengubahsuai pelbagai ilmu demi mewujudkan peradaban baru. Begitu banyak ilmu-ilmu negara Islam dan Timur diterokai ,dirompak dan dimusnahkan atas nama campurtangan kuasa asing. Tanpa segan silu perkara yang sama masih lagi berlaku dan di amalkan sehingga kini oleh mereka.

Para pemimpin dikhuatiri terkabur dan teralpa dalam menangani masalah semasa dengan menggunakan strategi jangka pendek untuk mengatasi masalah jangkapanjang. Kerana kemajuan banyak bergantung kepada daya intelektual yang tinggi dan keupayaan menerajui sesuatu perkara. Kayu pengukur industri tidak boleh dijadikan sebagai asas untuk mengukur kemajuan negara. Kerana negara yang maju tidak hanya diukur melalui perspektif material sahaja tetapi turut melibatkan aspek-aspek lain termasuk budaya, bahasa, moral dan pelbagai kriteria lagi termasuklah kepuasan hakiki masyarakat dan rakyat. Ini akan dapat difahami dengan mudah bilamana kita berada di negara maju contohnya di Eropah yang boleh dijadikan sebagai ‘benchmark’, kita serta-merta setuju dan yakin bahawa mereka telah mencapai status negara maju hanya dengan melihat dan merasakannya sahaja semudah abjad a,b, dan c. Tidak perlu slogan, motto atau sebarang retorik.

Orang yang berjaya dan kaya dari negara yang maju adalah berbeza daripada orang berjaya dan kaya di negara membangun. Ia banyak berkait-hubung dengan sikap, disiplin, corak budaya, cara berfikir, tingkah laku dan cara penampilan. Kerana itu, tidaklah menghairankan melihat pemandu di jalanraya negara kita amat agresif berbanding pemandu di negara Eropah. Ini adalah satu perbandingan mudah yang amat ketara boleh dijadikan panduan dalam kita melakarkan natijah pembangunan negara di masa hadapan terutama dari aspek pendidikan dan program penyediaan sumber manusia secara menyeluruh.

Kita mungkin masih menggunakan perlambangan-perlambangan untuk menukilkan kemajuan, kejayaan dan kekayaan. Kereta mewah, banglo besar, makan di hotel dan restoran mewah, serta kad kredit adalah sebahagian daripada lambang-lambang yang diterima umum di negara ini sebagai kayu pengukur tahap kejayaan dan kemajuan. Inilah sebenarnya fakta yang kita takuti dan geruni bilamana semua perkara kelak akan berkiblatkan material semata-mata. Lantaran itu adalah tidak menghairankan bahawa dalam ribuan kenderaan mewah menjalar terdapat juga ribuan rumah setinggan bertaburan sekitar ibu kota. Tidak juga pelik dalam pesta-pestaan seluruh negara, muncul rintihan di media massa dari golongan marhaen yang terlantar derita sakit, terpinggir tua dan hina.

Kerana terlampau mengejar pasaran kerja kelak Institusi Pengajian Tinggi di negara ini terlupa satu lagi agenda utama mereka iaitu melahirkan masyarakat ilmuan, intelekutual dan ahli pemikir. Rome, Greece, China, India dan Arab adalah sinonim kepada ketamaddunan dunia kerana kemampuan sarjana dan ahli pemikir mereka menjana pemikiran dan ilmu yang hebat dan dijadikan rujukan sehingga ke hari ini. Negara dan bangsa di atas mengamalkan budaya sarjana dan mereka amat berdisiplin serta komited dalam menimba ilmu pengetahuan dan membuat kajian. Inilah kekurangan yang amat nyata di negara kita. Banyak ilmu yang dipelajari hanyalah untuk menggalakkan kita menjadi ‘kuli’ kepada orang lain tetapi terlampau sedikit atau hampir tiada langsung yang melandaskan bahawa belajar dan menuntut ilmu adalah untuk kebijaksanaan dan menjadi pemimpin dan peneraju. Ini dinamakan sebagai krisis arah. Kita tidak pernah menetapkan fokus dan halatuju untuk satu tempoh jangka panjang. Hanya apabila kelahiran wawasan 2020 barulah banyak yang seolah-olah baru sedar dari mimpi.

Malangnya, hari demi hari kita semakin melupakan wawasan berkenaan kerana terlampau yakin kita mampu untuk mencapainya. Walhal, kita masih berada ditakuk lama. Berkeriau dari segi isu yang masih sama dan masih alpa dengan agenda-agenda remeh. Selagi budaya Pak Turut masih dijadikan pakaian selagi itulah kita tetap terperuk di dalam kepompong yang sama dan tidak mungkin kita berjaya menjadi peneraju. Bukan mentaliti subsidi, atau budaya tongkat sebenarnya yang menjadi penghalang tetapi sikap ‘jakun’ masyarakat kita yang taksub tak bertempat telah mewujudkan fenomena dan halangan kepada arus kebangkitan nusantara. Meskipun negarawan Barat pernah meramalkan dalam pelbagai buku dan majallah mereka bahawa negara ini seperti harimau yang sedang bangun, ataupun naga yang sedang tidur tetapi anggota harimau dan naga tersebut masih tidak bersinergi untuk bergerak ke hadapan. Hakikat orang luar percaya bahawa kita BOLEH tetapi kita sendiri masih mahu pandang timur, pandang barat dan pelbagai pandang lagi.

Secara perbandingan; infrastruktur negara ini telah begitu canggih baik dalam aspek pendidikan, kesihatan, pengangkutan, pengairan, perbankan [Islam], pembangunan, akitek, perubatan dan sebagainya. Dengan bangganya kita boleh mengisytiharkan ianya adalah bertaraf dunia. Habis, di manakah lagi yang menyebabkan kita masih terhegeh-hegeh mencari hala mengejar kemajuan?. Sebenarnya kita masih lagi dibelenggu dari segi mental, yakni perasaan rendah diri dan memerlukan pengiktirafan orang lain. Lantas, berapa banyak wang yang perlu dibelanjakan kerajaan untuk kempen beli barangan buatan Malaysia kerana dari segi mentalnya kita masih megah membeli barangan luarnegara. Gejala yang aneh, pedih dan melucukan ini telah diambil kesempatan oleh banyak negara lain untuk memanipulasikan pengguna kita. Ada yang membeli kasut jenama terkenal Italy tetapi sebenarnya ia dibuat oleh kawan kita di Balakong atau Serdang, ada yang membeli set hi-fi yang canggih atau lain-lain peralatan elektronik di New York tetapi sebenarnya bila pulang selepas dibelek rupanya ‘made in Malaysia’.

Analogi India dan Malaysia yang bersaing dalam dunia telekomunikasi amat menyerlah untuk dijadikan iktibar. Dengan infrastruktur dan pelaburan jutaan ringgit dilaksanakan oleh kita sepatutnya Malaysia telah jauh mendahului India dalam persaingan berkenaan. Sebaliknya Bangalore, yang terpencil satu ketika dahulu tiba-tiba menjadi gergasi pengeluar ‘soft ware’ dunia. Tentu ada yang tertanya-tanya kenapa ini berlaku. Jawapannya amat mudah. Orang yang berjiwa besar, adalah mereka yang merdeka jiwa dan mindanya daripada sebarang pengaruh. Mereka amat yakin dan membuktikan keyakinan mereka melalui hasil kerja yang bermutu serta melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

Sekarang kita ingin bertanya mampukah kita melakukannya. Jawapannya memang boleh, tetapi kerana minda kita masih belum bersedia untuk yakin dan percaya kepada kebolehan diri sendiri. Contoh yang paling mudah, kita melihat industri bio-teknologi dan herba negara ini telahpun diiktiraf di peringkat antarabangsa, tetapi kenapa masih tidak diberi sokongan. Tongkat ali, kacip fatimah, pegaga, mengkudu, gamat hanyalah sebahagian kecil daripada nama-nama lazim di telinga kita. Mavcap telah pernah melabur jutaan ringgit dalam sebuah dari industri ini dan memperolehi pengiktirafan dunia, tetapi kita lalai dalam menerokai potensi industri ini kerana keghairahan tidak bertempat dan tidak bermasa. Fokus yang multi arah telah mencelarukan kejayaan-kejayaan ini sehingga kita gagal menonjolkan potensi industri-industri berkenaan sebagaimana yang dilakukan oleh negara lain seperti Thailand dan China. Inilah yang dikatakan yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran. Malahan kerjasama saintis negara dengan Massachusette Institute Of Technology sebuah institusi pengajian teknikal tersohor dunia dalam memertabatkan kajian dan status industri herba negara masih dipandang sepi hampir kesemua pihak. Entah apa lagi yang di cari, walhal kejayaan dan kebanggaan ini telah berada di hadapan mata.

Sindrom memerlukan pengiktirafan orang luar telah meminggirkan banyak tenaga kerja professional kita di luar negara. Keputusan kerajaan merayu dan memanggil mereka pulang bukanlah sesuatu perkara yang bijak ketika ini. Keputusan mereka menjalankan aktiviti di luarnegara mesti dikenal pasti dan di atasi terlebih dahulu sebelum mereka dijemput kembali. Pengalaman berbincang dengan salah seorang saintis yang telah menyahut seruan berkenaan amat menyayat hati. Betapa kesukaran beliau yang seolah-olah menadah tangan memohon simpati seperti peminta sedekah kerana pihak yang menjanjikan pekerjaan gagal mengotakan kata-kata akhirnya telah mencampakkan saintis ini ke lembah dukacita dan permasalahan yang bertali arus. Beliau hilang pekerjaan, sumber pendapatan, wang simpanan dan akhirnya menghadapi masalah keluarga. Entah berapa ramai lagi kelak yang akan terkorban sekiranya perkara ini tidak ditangani secara saksama dan berhemah.

Mungkin ada yang dengan sinis menafikan bahawa sebenarnya kita telah melahirkan ramai saintis yang kini sedang berkhidmat di seluruh pelosok dunia dan dihormati serta dipandang tinggi. Kita juga sebenarnya amat hebat dalam bidang pengurusan organisasi, pengurusan ladang, koperasi, pengurusan tanah, penempatan, hartanah, dan rekacipta. Adalah amat mengharukan apabila melihat seorang pereka-elektronik tempatan mengalirkan airmata melahirkan kekecewaannya atas sikap pilih bulu, pilih warna kulit dan tiada kepercayaan penggubal dasar dan industrialist tempatan terhadap bakat dan ciptaan beliau. Memang benar, ciptaan beliau telah mendahului zaman kerana segala rekacipta industri permotoran German, Jepun dan Korea kini berlumba-lumba memperkenalkan teknologi canggih berkenaan hampir 10 tahun selepas beliau memperkenalkannya di negara ini. Apakah ianya tidak menyentuh sanubari kita?

Di manakah sebenarnya gelinciran yang mewujudkan fenomena minda terjajah ini. Apakah benar suara dan saranan negara kita ketinggalan kerana kegagalan menguasai bahasa Inggeris (terutamanya Melayu) menyebabkan kita bersikap kagum dan taksub melampau kepada bangsa berkenaan. Kita telah menjemput begitu ramai Mahaguru pengurusan, Mahaguru pemikiran dan pelbagai mahaguru lagi dari seluruh pelosok dunia sehingga terlupa kepada mahaguru-mahaguru bertaraf dunia negara kita. Menghadiri pelbagai seminar yang dianjurkan oleh Mahaguru-mahaguru barat ini langsung tidak menjentik hati sendiri, kerana apa yang diunjurkan telah sedia kita maklum dan ketahui malahan telah dipelajari daripada datuk-nenek dan ibu-bapa kita. Tetapi pada kesempatan lain menghadiri seminar yang ditunjangi oleh Mahaguru tempatan antara pengasas LUTH, Koperasi, Angkasa, Felda amat menyentuh tangkai hati. Dengan gaya bahasa Melayu klasiknya, beliau telah mengupas pelagai perkara dari kacamata budaya, ekonomi, kesihatan, pemakanan, pentadbiran dan sebagainya. Sekiranya beliau dilahirkan di Israel atau Amerika tentunya beliau telah mendapat anugerah Noble. Kata-kata beliau adalah ilmu, keturunan beliau adalah permata yang menunjang ekonomi negara. Bodoh lagikah Melayu begini yang mendapat Ijazah lanjutannya di Waseda Universtiy antara yang hampir mustahil untuk menerima pelajar luar negara dalam sejarah penubuhannya kerana sistem meritokerasi yang begitu rigid diamalkan di sana.

Menurut penelitian, sindrom-sindrom di atas dan ketidak pekaan serta kejahilan menilai ini wujud disebabkan media massa tidak menjalankan agenda propaganda inteleknya secara berkesan. Program, fokus dan bidang yang ditekankan telah terdorong ke arah yang salah. Ini mungkinkah kerana kebanyakkan orang media pasca ini tidak menerima pendedahan intelek. Mungkin zaman Pak Samad, Pak Sako, Pak Zaaba telah berlalu tetapi lorong-lorong yang telah mereka teroka perlu diperluas dan diperdalamkan lagi dan bukan sebaliknya. Kita perlukan banyak manusia seperti Pak Mazlan, Pak Adam, Pak Firdaus dan beberapa nama lagi yang pernah menyinari dunia media. Kita membaca tulisan mereka dengan mulut yang tersengih dan minda yang padat dengan kata lain, selain terhibur kita turut berfikir dan diajak untuk berfikir.

Wartawan media tulisan dan elektronik bukan hanya berperanan mencatit dan melapor tetapi perlu di berikan tugas mendidik, memacu, menghala dan memantau segenap perkembangan negara. Kerana itu mereka sendiri perlu berilmu, rajin membaca dan tidak terlalu dikejar oleh garis waktu dan garis panduan. Apakah berita rogol, rompak, culik, sumbang mahram, tahyul, gossip dan ragut setiap hari patut dijadikan topik utama?. Kemanakah pula laporan-laporan kejayaan negarawan, ilmuan, saintis, ekonomis dan seumpamanya selaku rangsangan kepada generasi akademi fantasia dan Malaysian idol ini. Apakah kegilaan generasi sms dan tv realiti ini tidak mampu dikebahkah dengan obat baru memaparkan kekeliruan dan kedaifan insan-insan seni yang pernah ternama satu ketika dahulu? Bolehklah kita menafikan bahawa glamour seni adalah sebuah lakonan semata-mata. Tanyakanlah dengan ikhlas mereka yang pernah terlibat dengan industri ini kecuali mereka yang menjadi pemerah keringat artis kita. Siapa sebenarnya yang kaya, jawapannya akan memeranjatkan anda semua. Ketawakanlah kebebalan diri sendiri kerana hanyut dalam dunia fantasia.

Oleh itu, kita perlu bertegas bahawa pendidikan bukanlah sebuah industri yang melahirkan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan mana-mana pihak. Ia adalah sebagai pusat pendidikan yang mendidik dan menyediakan asas kepada keperluan-keperluan dan kehendak manusiawi dan komponen pekerjaan adalah hanya satu daripadanya. Persepsi ini mestilah dipatuhi terlebih dahulu barulah pendidikan insan akan melahirkan manusia bukannya mesin atau robot. Lainlah halnya jika mana-mana industri memerlukan tenaga kerja sedia mengikut spesifikasi mereka sendiri, mereka bolehlah menubuhkan pusat pendidikan tersendiri untuk memenuhi hasrat berkenaan. Kita tidak boleh berkompromi kesejahteraan sejagat untuk memenuhi keperluan sebilangan kapitalis semata-mata. Kebahagiaan dan kemajuan tidak diukur melalui pendapatan yang dijana tetapi lebih kepada aspek kekeluargaan dan psikologi yang mantap. Barulah kemajuan material dan spiritual boleh berjalan seiringan. Kerana yang membezakan haiwan dan manusia hanyalah sikap dan sifat mereka sahaja, kiranya manusia telah bersifat haiwan kita bukan semakin maju tetapi kita telah mengundur ke zaman purba.

7.

Disiarkan dalam Berita Harian 10 November, 2004 (hal:14)

PROSES KUTIPAN BARU PTPTN BERCANGGAH DENGAN AKTA

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 8 November, 2004 di muka hadapannya telah memetik kenyataan Pengerusi PTPTN Datuk Razali Ismail yang berhasrat ingin memperkenalkan sistem kutipan bayaran balik skim pinjaman PTPTN yang baru. Corak kutipan baru yang lebih agresif, cekap dan pantas tanpa menunggu sehingga para pelajar menamatkan pengajian mereka akan diperkenalkan. Alasan yang diberikan adalah untuk mengatasi masalah aliran tunai perbadanan berkenaan.

Walaupun kelihatannya tiada sebarang keganjilan dalam kenyataan itu tetapi apabila dilihat, diteliti dan dikaji dengan mendalam ianya jelas amat bertentangan dan bercanggah dengan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566). Melalui Sub Seksyen 26(1) dengan jelas telah mencatitkan bahawa penerima pinjaman berkewajipan untuk membayar balik pinjamannya tidak lewat daripada 6 bulan dari tarikh menamatkan atau berhenti menjalani kursus pengajiannya. Malahan melalui Sub Seksyen 26(2) peminjam boleh memohon untuk melanjutkan tempoh bayaran balik pinjaman pendidikan berkenaan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi PTPTN seperti mendahului Undang-Undang. Apa yang ingin dipersoalkan di sini beliau telah turut menyatakan bahawa Lembaga Pengarah PTPTN telahpun memberikan persetujuan terhadap formula baru kutipan berkenaan. Sekiranya benar kenyataan tersebut, sedarkah beliau implikasi perundangan yang sedang dihadapi oleh PTPTN melalui tindakan ini. Malahan dimusykilkan juga mengenai keanggotaan Lembaga Pengarah perbadanan berkenaan, di mana mungkinkah mereka tidak menyedari tentang percanggahan tersebut. Sekiranya telahan ini benar, adalah amat malang sekali kerana perbadanan professional ini tidak dianggotai oleh mereka yang benar-benar berkelayakkan sehingga menjerumuskan mereka ke dalam kancah kemelut yang tidak perlu ini.

Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan kita perlulah merujuk kembali tujuan penubuhan Perbadanan berkenaan. Janganlah kelak kerana ingin menyelesaikan masalah dalaman yang bersifat situasi kita mengorbankan tujuan murni penubuhannya. Sewaktu penubuhannya PTPTN, YB Menteri Pendidikan waktu itu Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah menyatakan niatnya dengan jelas supaya kaedah pembayaran balik yang dibuat tidak akan membebankan mana-mana pihak kerana keputusan kerajaan memansuhkan biasiswa.

Sekiranya kaedah berkenaan masih ingin diteruskan juga, PTPTN perlulah meminda undang-undang. Prosesnya perlu dilakukan secara betul dan dibentangkan di Parlimen selanjutnya diluluskan untuk dijadikan Akta. Bagaimanapun, sebarang perjanjian yang telah ditandatangani oleh peminjam sebelum ini tidak boleh dipinda dan ditarik balik. Dengan kata lain, proses pemungutan bayaran balik yang baru hanya boleh dikuatkuasakan kepada peminjam-peminjam yang baru sahaja, manakala yang telah mendapat kemudahan berkenaan akan menikmati kemudahan sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh perjanjian pinjaman mereka.

Terdapat dua natijah daripada kenyataan pengerusi PTPTN berkenaan. Pertama Perbadanan berkenaan tidak menggalakkan pelajar menggunakan kemudahan yang disediakan kerana sekiranya banyak yang memohon maka Pebadanan akan mengalami masalah kecairan keewangan. Ke dua, sekiranya mereka meminjam juga ibu bapa mesti bersedia membayar ansuran bulanan tanpa menunggu mereka memperolehi pekerjaan dan mampu dengan sendirinya melangsaikan pinjaman berkenaan.

Secara tidak langsung, nampaknya PTPTN telah memulakan agenda dan kaedah baru beroperasi sama sebagaimana yang institusi keewangan komesil praktikkan dan bukan lagi selaku sebuah Perbadanan Milikpenuh Kerajaan yang menjadi agensi perlaksana. Dengan merombak kaedah dan gaya pengurusan lebih bersifat komersil, secara tidak langsung mereka turut menghakis obligasi sosial terhadap kemajuan pendidikan nasional.

Adalah malang bagi kebanyakkan rakyat negara ini yang sebahagian besarnya terdiri dari golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah sekiranya kenyataan berkenaan memang mencerminkan hasrat sebenar kerajaan dewasa ini. Dengan itu slogan-slogan manis yang diucapkan oleh sebahagian besar pimpinan negara hanyalah seperti menanam tebu ditepi bibir sahaja. Atau pembangkang dengan mudah mengatakannya sebagai janji-janji lunak pilihanraya.

Selepas kenaikkan harga minyak, kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan, keruntuhan bukit, lebuh raya, rumah dan bangunan, banjir kilat dan sebagai musibah sempena perayaan yang akan tiba tidak lama lagi; nampaknya satu lagi anugerah dan hadiah yang kita semua rakyat Malaysia perolehi adalah kekangan dan hambatan untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi masyarakat desa dengan pendidikan melalui proses sengaja mengetatkan prosedur pinjaman PTPTN.

Mungkin bagi Melayu baru, dan jutawan politik kenyataan berkenaan tidak mengguris dan tidak menjejaskan nikmat kesenangan yang sedang mereka kecapi. Tetapi jauh di desa dan pendalaman sana, ramai yang telah menitiskan airmata mengenangkan bagaimana caranya untuk membayar ansuran yang jumlah hingga ribuan ringgit. Mampukah hanya menjual kerbau, lembu dan kambing menyelesaikannya. Ikhtiar akhir adalah menjual tanah pusaka sekangkang kera tempat berteduh selama ini. Selepas itu, ke manakah ikhtiar hidup mereka, tentulah merempat menjadi kuli batak di tanah kelahiran sendiri.

Sebelum anda semua bertindak, berfikir dahulu dan janganlah hanya menggunakan topi birokerat dan teori-teori ekonomi Barat yang anda pelajari semata-mata. Saya percaya anda juga sebahagiannya datang dari pendalaman sana, janganlah bila telah menggunakan ‘tongkat’ dan telah mendaki ‘tangga’ yang diperolehi sebelum ini anda melupakan mereka di sana. Mereka juga turut berhak meminta sedikit perhatian selaku warganegara di bumi bertuah ini. Tanpa mereka mungkin anda tidak berada di tempat anda berada pada waktu ini.

4 comments

  1. bole siarkan artikel mengenai sikap orang Melayu dalam sektor peruncitan x..
    mekaseh


  2. Terima kasih, di atas permintaan di atas. Kami telahpun menhantar e mail kepada saudara yang mengandungi artikel yang berkenaan. Sekian.


  3. meminta kadar jenayah ragut dan rompak,statistik,langkah2 mengatasi dan faktornya


    • Teima kasih sdri Atiqah terhadap keprihatinan anda mengenai kes jenayah di negara ini. Bagaimanapun, di atas sebab keselamatan dan kerahsiaan pihak kami tidak boleh memberikan angka sebenar mengenai statistik berkenaan. Hanya pihak berkuasa yang berkaitan seperti Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan PDRM yang boleh dan diberikan kuasa untuk mengeluarkan statistik tersebut sebagai sumber resmi.

      Untuk tidak mengecewakan anda, kami boleh menyimpulkan bahawa pada dasarnya statistik jenayah negara adalah sememangnya menunjukkan kadar peningkatan yang nyata. Malah dalam kes-kes tertentu seperti dadah, nampaknya peranan negara kita dalam peta keselamatan dunia telah bertukar daripada negara transit kepada negara pengeluar dan pembekal dadah jenis sintetik. Begitu juga dengan struktur jenayah di negara ini sudah berubah corak daripada jenayah terasing menjadi jenayah terancang dan contoh paling jelas adalah dalam kes curi kenderaan.

      sekian, semoga anda mendapat menafaat darinya.



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: